Pengikut

Ahad, 11 Mei 2014

apakah GMO?

salam..

kali ni nak cite pasal GMO...
benda ape tah GMO ni? 

kat bawah ni artikel pasal GMO yg saye amik dr surat khabar utusan malaysia 

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Pencemaran makanan oleh GMO perlu dikawal

Saintis Menulis
Oleh Mohd. Azmi Mohd. Lila
Organisma ubahsuaian genetik atau popular dengan panggilan genetically modified organism (GMO) selalunya merujuk kepada tanaman atau organisma lain yang mempunyai kandungan genetik yang telah diubahsuai. Kejadiannya melibatkan penggunaan gen asing yang diperoleh daripada organisma lain dan diberikan kepada sel benih yang hendak dijadikan GMO.

Teknologi kejuruteraan genetik membolehkan percantuman di antara kod genetik yang berlainan berlaku. Oleh itu pengubahsuaian genetik dan pewujudan GMO tidak terhad kepada tumbuhan sahaja, malah sebarang hidupan daripada sekecil virus dan bakteria sehinggalah haiwan dan manusia boleh dijadikan GMO.

Kebanyakan penyelidikan GMO bertujuan untuk menghasilkan spesies tanaman yang superior yang mempunyai daya tahan kepada serangan makhluk perosak, berupaya menghasilkan sumber makanan yang berkualiti tinggi. Ia dihasilkan dalam jumlah yang banyak dalam kitaran pertumbuhan yang singkat.

Hasil tanaman boleh disimpan untuk suatu jangka masa yang lama dan spesies tanaman yang boleh ditumbuhkan pada persekitaran yang ekstrem seperti di tanah gersang atau padang pasir. Spesies tanaman makanan seperti jagung, kacang soya, padi dan tomato merupakan sasaran utama dijadikan GMO.

Berjuta ekar tanah pula terutamanya di Amerika Syarikat dan China telah pun ditanam dengan spesies pokok kapas GMO yang menghasilkan sejenis racun yang boleh membunuh larva serangga perosak. Gen yang menghasilkan racun berkenaan diambil daripada sejenis bakteria Bacillus thurigiensis yang mudah didapati daripada tanah.

Syarikat Mosanto pula telah mencipta spesies jagung yang tahan kepada racun rumpai popular Roundup. Ada juga tumbuhan GMO yang dicipta bagi tujuan perubatan seperti tomato yang menghasilkan vaksin hepatitis dan bijirin yang menghasilkan vitamin pada jumlah yang luar biasa banyaknya.

Sementara itu, rata-rata di segenap pelosok dunia, penggunaan GMO sedang hangat diperdebatkan. Fokus utama berkisar kepada kebimbangan kehadiran bahan genetik asing pada GMO dan kemungkinan kesan sampingan.

Sebilangan saintis mengatakan ia selamat digunakan tetapi tidak kurang pula yang bimbang GMO boleh memudaratkan kesihatan dan juga persekitaran. Ada yang mengatakan ia meningkatkan kesan alergi atau alahan jika penggunaannya sebagai sumber makanan dan ada pula yang cuba mengaitkannya dengan peningkatan penyakit kanser dan lain-lain masalah kesihatan yang sukar dikenal pasti puncanya.

Tidak kurang juga yang risau bahan genetik asing pada GMO boleh dipindahkan secara rambang kepada spesies lain melalui proses pendebungaan, jangkitan bakteria, serangga atau makanan.

Negara yang menerima GMO terutamanya Amerika Syarikat membuat tuntutan yang ia selamat digunakan sebagai sumber makan. Ini tidak menghairankan kerana negara berkenaan merupakan pengeluar utama GMO dunia di mana 60 peratus daripada jumlah hasil pertaniannya adalah daripada GMO. Sebaliknya kebanyakan negara Eropah menolak GMO kerana bimbangkan akan tahap keselamatannya yang belum terbukti terutamanya dalam suatu jangka masa yang panjang.

Sebilangan negara di Afrika pula, walaupun teramat miskin, menolak bantuan makanan GMO dan sanggup membiarkan rakyatnya kebuluran atas alasan ia tidak selamat dimakan.

Dari segi perundangan antarabangsa, hak cipta sesuatu GMO boleh dilindungi oleh undang-undang, hak milik harta intelek seperti paten, rahsia perniagaan dan sebagainya. Tetapi kebanyakan negara adalah ketinggalan dari segi perlumbaan mencipta dan mendapatkan hak cipta berkenaan.

Oleh itu pihak yang berjaya boleh mengeksploit dan mendapat keuntungan yang besar daripada perniagaan GMO ciptaan mereka. Keadaan ini boleh mengancam pendapatan petani dan aktiviti pertanian yang berasaskan benih tanaman semula jadi yang jauh lebih inferior kepada GMO.

Di samping itu, pihak yang menghasilkan tanaman semula jadi bimbang tanaman mereka akan di cemari oleh bahan genetik daripada GMO. Sekiranya ia berlaku, tanaman mereka sukar dijual terutamanya kepada pihak yang anti-GMO. Sehinggakan ada sesetengah pihak menuntut agar sebarang hasil tanaman atau bahan makanan yang dibekalkan kepada mereka disahkan bebas daripada sebarang GMO.

Selain daripada bijirin atau bahan mentah, bahan makanan yang telah diproses mungkin mengandungi GMO. Kemungkinan besar juga minyak masak daripada bijirin jagung dan bunga matahari yang diimport oleh negara kita berasal daripada GMO. Tetapi, yang sahihnya minyak sawit Malaysia masih bebas daripada GMO. Merumitkan lagi apabila sesuatu jenis makanan mengandungi lebih daripada satu jenis GMO.

Sementara itu apakah GMO yang terkandung di dalamnya terdiri daripada jenis yang dibenarkan? Tetapi aspek yang paling penting sekali untuk ditentukan ialah dari segi keselamatan dan kemungkinan im-plikasi penggunaannya.

Kebanyakan negara telah memperuntukkan undang-undang khas GMO bagi mengawal dan memantau penggunaannya sama ada di bawah keadaan terkawal, untuk dibebaskan kepada alam sekitar ataupun penjualannya di pasaran terbuka. Ia semata-mata bertujuan untuk menghindari atau menghapuskan kemungkinan kesan sampingan yang tidak diingini.

Sebagai suatu langkah berjaga-jaga, negara-negara berkenaan telah menetapkan permit import, eksport dan penggunaannya akan dikeluarkan hanya apabila bahan yang disyaki mengandungi GMO telah diuji dan disahkan menepati spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Di Malaysia, pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar telah pun mempunyai satu jawatankuasa yang memberikan garis panduan dan khidmat nasihat mengenai penggunaan GMO. Namun begitu bilakah Malaysia akan mempunyai undang-undang khas bagi membendung import dan penggunaan GMO terutamanya bagi jenis yang mungkin boleh memudaratkan persekitaran dan kesihatan, dan siapakah yang akan menguatkuasakannya masih menjadi tanda tanya?

Ia adalah penting kerana sesetengah negara memerlukan sijil pengesahan mandatori bagi menjamin bekalan bijirin dan makanan yang diimport adalah bebas daripada GMO. Sementara itu, kita juga perlu mempunyai kaedah yang sesuai bagi menangani masalah penyeludupan bijirin dan biji benih GMO serta implikasinya yang dikatakan boleh mengancam kestabilan lengkungan genetik tumbuhan atau organisma lain yang hanya terdapat di negara kita.

Keperluan kepada pengawalan dan pemantauan ini menunjukkan betapa perlu-nya cara atau teknik khas bagi menentukan kehadiran GMO. Apakah cara khas bagi menguji sama ada sesuatu bahan makanan mengandungi GMO, dan apakah tahap kandungan GMO yang boleh dibenarkan oleh pihak berkuasa?

Usaha-usaha untuk menguji kehadiran GMO pada sampel makanan, bijirin dan tumbuhan merupakan sesuatu yang mencabar. Teknik yang di gunakan harus berupaya mengenal pasti gen atau protein yang dihasilkan oleh gen yang terdapat pada GMO berkenaan.

Masalahnya terdapat segala macam gen yang di gunakan bagi menghasilkan sesuatu GMO. Setiap gen yang digunakan adalah unik dari segi kod genetik dan protein yang dihasilkan. Salah satu ciri penting GMO ialah gen berkenaan disambungkan kepada suatu kod genetik pembawa. Ini bermakna sekiranya teknik yang digunakan bagi menguji bahan yang disyaki me-ngandungi GMO berupaya menentukan kehadiran kod genetik pembawa, ia sudah cukup untuk mengesahkan kehadiran sesuatu GMO.

Di antara kod genetik pembawa yang selalu digunakan bagi menghasilkan GMO ialah daripada gen yang menjadikan bakteria tahan kepada antibiotik pencemaran dan juga gen yang berasal daripada sejenis virus yang dinamakan sebagai cauliflower mosaic virus.

Selain daripada ujian DNA, teknik pengesanan protein GMO boleh juga dijalankan tetapi ia adalah terhad kepada GMO tertentu sahaja seperti protein CryI(Ab)Bt yang terdapat pada jagung GMO dan protein CP4EPSPS yang terdapat pada kacang soya GMO. Ini bermakna hanya makmal yang berteknologi tinggi sahaja yang mempunyai keupayaan untuk mengesan unsur-unsur yang berasal daripada GMO.

Malaysia mempunyai keupayaan ini dan sebuah syarikat swasta telah pun memajukan kelengkapan yang sesuai bagi memberikan perkhidmatan berkenaan. Makmal sebegini berupaya mengesahkan status kehadiran sesuatu bahan makanan sama ada mengandungi GMO atau tidak.

Akibat daripada pewujudan GMO yang semakin tidak terkawal, kebanyakan negara maju telah mengehadkan hanya bijih benih dan bijirin yang 100 peratus bebas daripada GMO tertentu boleh diimport. Sementara itu, bagi makanan yang telah diproses, kebanyakan negara pengimport telah mengehadkan makanan yang mengandungi tahap kecemaran yang melebihi julat 1-5 peratus GMO adalah tidak dibenarkan. Sesetengah negara pula membenarkan makanan yang mengandungi GMO dijual tetapi perlu dilabelkan `mengandungi GMO'.

n Prof. Madya Dr. Mohd. Azmi Mohd. Lila ialah Ketua, Laboratori Imunoterapeutik & Vaksin (LIVES), IBS, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan